SEPERTI yang dijangkakan sebelum ini, rujuk sini [Utusan Malaysia], media-media arus perdana akan menggunakan isu penahanan Dr Badrulamin di majlis makan malam yang dikatakan dianjurkan oleh Al-Arqam semalam untuk mengaitkan KEADILAN dengan ajaran sesat.

Hari ini portal berita milik anak syarikat Utusan, Kosmo melaporkan kononnya Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Badrulamin sebagai tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis dikatakan anjuran Al-Arqam, sebuah pertubuhan yang pernah diharamkan kerana membawa ajaran sesat.



Di bawah ini pula penjelasan si empunya badan, Dr Badrulamin yang menghadiri majlis tersebut.

Majlis Jamuan makan �Kenduri Mega� malam tadi adalah anjuran Global Ikhwan dan bukannya Al-Arqam.

Jemputan hanya bersifat umum dan tiada jemputan khusus untuk saya, saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk makan sambil menikmati persembahan kesenian Islam sambil bersantai.

Saya diletakkan di meja tamu atas rasa hormat mereka terhadap saya dan sememangnya dibawah khemah lain tidak mempunyai meja pun.

Ahli jemaah Ikhwan mengenali kami kerana isteri saya sering membeli keperluan dapur di pasaraya Ikhwan kerana ia menyediakan produk makanan buatan orang Islam. Anak dan isteri saya juga sering kesana membeli pakaian dibutik Ikhwan.

Laporan Kosmo yang kononnya saya adalah salah seorang dari Ahli Jawatankuasa Penganjur (AJK) dalam program malam tadi adalah berniat jahat dan tidak bertanggung jawab.

Saya langsung tidak ada apa-apa kaitan dengan organisasi Ikhwan, jauh sekali dari memegang sebarang jawatan. Ingin saya jelaskan sekali lagi, kehadiran saya ke program tersebut tidak ada sebarang agenda peribadi mahupun politik.

Dr Badrulamin Bahron
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
2 November 2012